Kisah ini bukan lah muktamad kerana sebahagiannya saya perolehi dari arwah niniek , Mukti bin Abdullah ( di Sumur Rao, nama asal moyang saya dikenali sebagai Amirullah dan bukan Abdullah - Di Rao beliau dahulunya berjawatan Dato' Julo Bangso sebelum berpindah ke Tanah Melayu , niniek saya Mukti dilahirkan di Sumur Rao dan di bawa ke Tanah Melayu ketika masih kecil iaitu lingkungan 8 ke 10 tahun usianya ) sebagai ' Bed Time Story ' untuk cucu sulongnya ni sekitar tahun 1977 . Sebahagian yang lain pula melalui maklumat di internet , individu yang berasal dari Rao dan juga Pemimpin Adat ( Dato' dan Raja ) di Rao sendiri . Wallahualam .
Sejak lama , sebelum penjajahan Belanda , Rao ada lah sebuah kerajaan yang lebih besar dari saiz kini . Setelah persempadanan semula , Rao kini hanyalah sebahagian kecil dari Pasaman dan berada di sempadan utara Sumatera Barat ( Rao merupakan pintu ke Medan , Sumatera Utara ) . Rao dahulu sebelum meletus Perang Padri diperintah secara autonomi selama berkurun lamanya dimana Dato' dan Rajanya memerintah dengan kapasiti masing -masing . Dato' dan Raja ini juga khabarnya memiliki daulat dan istananya dan pergerakan mereka kemana jua ada juga yang menaiki tandu dengan diiringi oleh panglima serta pengawal . Rao juga pernah mempunyai pemerintah tertinggi dengan gelaran Yang DiPertuan Rao , bersemayam di Koto Rao , Rao Mapat Tunggul . Tetapi atas sebab yang belum di ketahui istana asal tersebut telah tertimbus dan tahta tersebut juga tidak ditabalkan semula . Kawasan tapak istana tersebut boleh dilihat dari jambatan sungai Asik , yang merupakan sempadan antara Nagari Lubuok Layang , Mapat Cancang dan Lubuak Godang , Mapat Tunggul .
Setelah pengembangan pengaruh Belanda pada abad ke 18 , Kerajaan Rao ini telah menjadi kecil dan semakin terhimpit . Pergeseran dan perbalahan diantara pemimpin-pemimpin ini berlarutan terutamanya setelah tamat nya Perang Padri pada abad ke 19 dan untuk mengelak kan persengketaan yang lebih buruk maka Raja - Raja Rao telah bermesyuarat untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik . Ketika ini Yang Di Pertuan Rao telah tiada kerana terkorban semasa Perang Padri . Memandangkan Raja-Raja dan Dato-Dato mempunyai kawasan autonomi sendiri dan kuasa diantara mereka juga agak seimbang , keputusan dari mesyuarat itu ialah perlu untuk melantik / mengangkat seorang Raja lain dengan gelaran Yang DiPertuan di kerajaan Rao untuk menjadi pemutus kata sekiranya berlaku salah faham atau perbalahan dan Raja tersebut hendaklah dipilih dan di jemput dari istana Pagaruyung . ( Kuasa yang di persetujui untuk Yang DiPertuan bukan lah kuasa memerintah tetapi kuasa sebagai pemutus kata sekiranya ada masaalah yang dibangkitkan antara Raja - Raja di Rao . Sekarang ni di kira macam peranan PBB .. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu )
Tiga orang Raja telah dipilih sebagai wakil Raja-Raja Rao untuk mengadap Raja istana Pagaruyung dengan membawa hadiah - hadiah berharga sebagai persembahan . Mereka adalah :
1. Sutan Komalo dari Pdg Briang . 2. Sutan Nadil dari Koto Panjang .
3. Sutan Rajo Lelo dari Tjg Boda .
( Nama-nama ini bercanggah antara banyak individu dan ada juga yang berpendapat Dato' Rajo Malintang , Lubuok Layang adalah salah seorang dari wakil bertiga ) telah bergerak merentasi hutan dan gunung menuju ke istana pagaruyung untuk membawa hajat Raja-Raja Rao . Setelah diterima mengadap maka Raja istana Pagaruyung telah memperkenan kan hajat itu dengan syarat ketiga wakil Raja Rao hendaklah memilih sendiri dari kalangan kerabat raja yang ada di balai mengadap itu . memandangkan kebanyakan kerabat di balai mengadap tu adalah perempuan maka wakil Raja Rao tersebut telah memilih salah seorang dari mereka... dan tentulah yang paling cantik dipandang .
Kerabat istana Pagaruyung itu terus di bawa pulang ke Rao dan di sambut meriah sebagaimana yang sepatutnya untuk ditabal kan sebagai Yang DiPertuan di wilayah Koto Rajo , Mapattunggul dan pada upacara penabalan itu kesemua Raja Rao lalu mengangkat sembah tanda taat dan hormat lalu dengan tidak semena - mena Yang DiPertuan yang baru ditabalkan rebah dari singgahsananya dan menggemparkan semua yang ada . Setelah diperiksa oleh tabib , disahkan kematian nya berkemungkinan disebabkan oleh ' ketulahan ' atau dengan maksud lain , yang menerima sembah darjatnya lebih rendah dari yang mengangkat sembah ... Lalu wakil Raja Rao yang bertiga itu telah di hantar semula ke istana Pagaruyung untuk mengkabarkan berita malang tersebut dan meminta ganti kerabat yang lain . Raja istana Pagaruyung menerima mengadap wakil Raja Rao buat kali ke dua dan sekali lagi diminta membuat perkara yang sama . Sebagaimana sebelum nya wakil Raja Rao telah memilih seorang kerabat perempuan yang cantik paras rupanya . Setelah dibawa pulang ke Rao dan di tabal kan , Yang DiPertuan tersebut juga jatuh gering dan menemui ajal . Hal ini telah benar-benar menggemparkan semua ! .
Raja-Raja Rao kemudian telah duduk bermesyuarat lagi membincang kan langkah serta strategi seterusnya kerana untuk berulang-alik dari Rao ke istana Pagaruyung bukanlah mudah dan jaraknya juga jauh . Tambah lagi untuk mengadap Raja istana Pagaruyung memerlukan barang berharga untuk di jadikan persembahan dan modal yang banyak telah dikeluarkan pada dua kali lawatan yang sebelumnya . Akhirnya ketiga wakil kepada Raja Rao ini diminta untuk pergi sekali lagi ke istana Pagaruyung dengan tujuan bukan sahaja menjemput ganti kerabat istana , tetapi juga untuk menyiasat siapakah di kalangan kerabat istana yang tinggi daulatnya supaya dapat dia menanggung daulat dari Raja-Raja Rao ketika mengangkat sembah ketika upacara pertabalan nanti . Jadinya ketiga wakil Raja Rao telah membuat satu perancangan iaitu sebelum mengadap Raja istana pagaruyung , mereka secara diam - diam telah berjumpa dengan ketua pengawal istana Pagaruyung untuk mendapatkan sedikit maklumat , mengenai hal-hal aneh yang pernah berlaku di dalam istana Pagaruyung . Ketua pengawal istana tanpa syak apa-apa telah mendedah kan akan peristiwa yang aneh berlaku didalam kawasan istana ... khabarnya ada seorang pekerja perempuan dibahagian dapur istana Pagaruyung , apabila diherdik .. dimarahi atau tidak dihormati maka sipelakunya akan serta merta jatuh sakit dan cara menawarkan sakit tersebut adalah dengan menggunakan air basuhan kakinya untuk di mandi atau diminum . Ini lah perkara aneh menurut nya !
Setelah mendapat maklumat yang sangat berharga itu ketiga Wakil Raja Rao terus menuju balai mengadap istana Pagaruyung dan mengisah kan akan apa yang telah berlaku di Kerajaan Rao , lantas meminta salah seorang pembantu dapur istana untuk di tabal kan menjadi Yang DiPertuan di Rao . Raja istana Pagaruyung memperkenankan lalu pembantu dapur tersebut dipanggil mengadap dan diarahkan mengikut wakil Raja Rao untuk pulang ke Rao . ( sumber yang saya dapati di Rao , pembantu dapur istana itu sebenarnya adalah salah seorang keturunan Raja istana Pagaruyung dari salah seorang gundiknya . Disebabkan ketika lahir , paras rupa nya tidak cantik dan berkulit hitam maka dia disisih dari istana dan diletakkan di bahagian dapur istana ) . Ketiga wakil Raja Rao tersebut tergamam dan sudah tidak dapat menolak bilamana mendapati orang yang mereka minta tidak cantik dan berkulit hitam , lalu terus membawanya kembali ke Kerajaan Rao .
Kerabat istana Pagaruyung yang di bawa kali ini telah selamat ditabal kan sebagai Yang DiPertuan di kerajaan Rao ( jawatan ini berbeza dengan Yang Di Pertuan Rao sebelum meletus perang Padri ) yang pertama . Selanjutnya , Dato' Rajo Malintang yang menguasai Lubuak Layang pada masa itu telah berkenan memberikan sebidang tanah di satu kawasan yang kemudiannya di panggil Padang Nunang , Lubuok Layang dan di bina sebuah istana diatasnya .. gelar Yang Di Pertuan kemudiannya telah di tukar kepada Yang Di Pertuan Padang Nunang , Raja - Raja Rao sekeliannya kemudian duduk berbincang untuk menentukan pula siapakah diantara mereka yang sudi untuk memperisteri kan Yang Di Pertuan Padang Nunang malang nya ke semua mereka telah menolak kerana paras rupa nya lalu seorang berketurunan bangsawan Mandailing yang sering dilihat oleh mereka dikawasan itu dipanggil dan bersetuju untuk dijodohkan dengan Yang DiPertuan Padang Nunang . Begitulah cerita Yang DiPertuan Padang Nunang yang saya ketahui . Kisah perkahwinannya dengan seorang bangsawan / anak Raja Mandailing saya perolehi dari sumber ayahanda saya sendiri .
( Sehingga sekarang ini saya di khabarkan , masih ada salasilah keturunan Yang DiPertuan Padang Nunang yang mempunyai paras rupa yang tidak menarik dan nampaknya sejarah lama masih berulang kerana keluarga ini walau pun pada hakikatnya adalah waris tahta yang sah tetapi seolah-olah di sisihkan dari menerima hak mereka hanya kerana paras rupanya ).
1 komentar:
Assalamualaikum datuk, dan mamak
Sungguh saya tertarik cerita dari datuk.
Namum ada sedikit pertanyaan bagi saya.
Adakah dari salah seorang raja beserta rombongannya (70 orang) merantau memakai kapal yg sampai sekarang tidak balik kampung.
Maaf sebelumnya
Ini terkait dengan kisah
Kerajaan kubu, kabupaten rokan Hilir Riau.
Terimakasih
Kalau ada kesempatan saya mau bincang bincang bisa datuk
Emoticon